Terdapat pelbagai kemudahan asas yang wujud dan di sediakan untuk komuniti Kg. Bertam Baru dan juga komuniti kawasan setempat. Segala kemudahan yang di sediakan adalah bertujuan untuk membantu dan memudahkan komuniti dalam meneruskan kehidupan seharian seiring dengan komuniti yang tinggal di bandar. Antara kemudahan asas yang terdapat di Kg. Bertam Baru adalah seperti berikut:

Kemudahan Komunikasi

 

a) Pusat Sebaran Maklumat Nasional @ National Information Dissemination Centre (NADI) Bertam

 

PIIMG 20180729 152936

 

Pusat Sebaran Maklumat Nasional @ National Information Dissemination Centre (NAD) Bertam merupakan salah satu kemudahan asas yang di sediakan di Kompleks Penggawa Kg. Bertam Baru yang bertujuan menyediakan perkhidmatan penggunaan internet kepada komuniti. Selain dari kemudahan internet, NADI Bertam juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti Fotostat, Cetakan, Imbasan, Binding,dan  Wifi Percuma dengan harga yang amat berpatutan dan di bantu dengan 2 orang petugas NADI. Para Petugas NADI Bertam juga turut mengadakan kursus komputer dan kelas latihan untuk pelbagai peringkat umur komuniti bagi membantu komuniti menjadi komuniti celik IT seperti Kelas Latihan "Microsfot Word", "Klik Dengan Bijak (KDB)", Kelas Keusahawanan dan banyak lagi.  

 

b) Talian Telefon Celular

 

 

Terdapat 3 rangakaian telefon celular yang di pancarkan dan boleh di gunakan oleh komuniti Bertam dan kawasan berdekatan  iaitu CELCOM, MAXIS dan DIGI. Rangkaian CELCOM di kampung ini telah di naik taraf dengan rangkaian perkhidmatan "Third Generation" (3G) dan ia membantu komuniti untuk melanggan rangkaian Internet CELCOM. Ketiga-tiga rangkaian ini menggunakan 1 pemancar yang sama.

 


 ♥ Kemudahan Ilmiah atau Keagamaan

 

a) Masjid Mukim Bertam Baru

 

 

100% penduduk Kg.Bertam Baru adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Terdapat sebuah masjid yang di bina di kampung ini sebagai kemudahan kepada penduduk untuk solat berjemaah dan solat Jumaat. Penduduk dari kampung-kampung berdekatan juga akan datang ke masjid ini untuk menunaikan solat Fardhu Jumaat dan juga mendengar ceramah agama. Ceramah agama akan di adakan 3 kali seminggu oleh penceramah ataupun ustaz dari Kg. Bertam Baru dan juga jemputan dari kampung berdekatan. Selain di jadikan tempat ibadah, masjid ini juga akan menjadi tempat persinggahan musafir, tempat berlangsungnya majlis akad nikah dan juga tempat bermalam bagi sukarelawan untuk mengadakan aktiviti dan majlis ilmu bersama penduduk kampung. Masjid ini di selia oleh Imam Mukim Bertam Baru iaitu Tuan Hj. Hussin b. Abdullah dan turut di bantu oleh Imam Muda, Siak dan juga Bilal.

 

b) Dewan MDGM Bertam

Pihak Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) telah menyediakan sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan komuniti di Kg. Bertam Baru. Dewan MDGM Cawangan Bertam ini turut di lengkapi dengan kemudahan kerusi, meja, alat pembesar suara dan dapur. Selain berfungsi sebagai tempat untuk mengadakan majlis keramaian untuk penduduk, dewan ini juga di sewa khas oleh penduduk untuk mengadakan Majlis Perkahwinan dan juga untuk majlis sambutan Hari Raya bersama pemimpin tempatan seperti ADUN. Dengan kelengkapan seperti kerusi dan meja, ia memberi kemudahan kepada penduduk untuk mengadakan sesuatu majlis yang mana boleh memuatkan bilangan orang yang agak ramai dan juga akan di jadikan tempat pemindahan mangsa banjir jika berlakunya kejadian banjir. Para penduduk juga akan menyewa kelengkapan yang ada di dalam dewan ini untuk kegunaan tertentu. Dewan ini di selia oleh pihak MDGM yang berkhidmat di kampung ini.

 

c) Dewan Belia Orang Ramai

Dewan Belia Orang Ramai agak kecil berbanding dengan Dewan MDGM. Dewan ini hanya di gunakan oleh Anak Seni Bertam (ASB) untuk membuat latihan Dikir Barat. Segala peralatan seni mereka akan di simpan di dalam dewan ini untuk digunakan bagi menjalani latihan yang biasanya di adakan 3 kali seminggu dari jam 9 malam sehingga 12 tengah malam. Segala kebersihan dan penyeliaan dewan ini terletak di bawah tanggungjawab Ahli Jawatankuasa ASB itu sendiri.

 


Kemudahan Pengangkutan

 

a) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)

 

 

Sejak dari zaman penajajahan British lagi, KTMB adalah pengangkutan yang utama bagi penduduk di Kg. Bertam Baru. Stesen KTMB Bertam Baru merupakan salah satu stesen keretapi di dalam Daerah Gua Musang yang menghubungkan daerah-daerah di dalam Negeri Kelantan sehingga ke Negeri Pahang melalui perkhidmatan keretapi tempatan. Laluan keretapi tempatan bermula dari Stesen KTMB Tumpat dan berakhir di Stesen KTMB Gemas (Pahang) dan sebaliknya. Stesen KTMB Bertam hanya menjadi tempat perhentian keretapi yang tempatan seperti stesen-stesen keretapi yang lain.  Jika penduduk kampung ini ingin menggunakan perkhidmatan keretapi Express Tumpat-Singapore, Tumpat-Kuala Lumpur, mereka akan menaiki keretapi tempatan untuk ke Stesen KTMB Gua Musang dan akan transit di stesen tersebut untuk ke destinasi yang ingin di tuju. Selain menjadi pengangkutan untuk ke bandar, penduduk kampung terutamanya peraih atau peniaga menggunakan keretapi untuk memasarkan barangan mereka di bandar. Peraih dari kampung-kampung berdekatan atau daerah lain akan membayar tambang khas untuk membawa barangan mereka untuk di jual dan kadang kala mereka juga akan membuat proses jual beli di dalam keretapi tersebut. Namun, kegemilangan KTMB sebagai pengangkutan utama penduduk di Kg. Bertam baru dan juga kampung-kampung berdekatan telah berakhir pada penghujung tahun 2014 akibat bencana banjir yang berlaku di mana telah menenggelamkan jalan keretapi, meruntuhkan jambatan keretapi dan juga stesen keretapi. Perkhidmatan di stesen KTMB Bertam Baru di berhentikan sementara waktu untuk proses baik pulih dan laluan akan kembali di buka hanya untuk laluan keretapi tempatan dari stesen KTMB Bertam Baru ke Gua Musang dan sebaliknya. 

 

b) Jalan Raya 

 

 

(sumber:https://www.google.com.my/maps/)

 

Selain KTMB, jalan raya juga turut di bina untuk kemudahan penduduk Kg. Bertam Baru bergerak ke kampung-kampung berdekatan dan juga bandar. Selepas berlakunya bencana banjir yang mengakibatkan proses operasi KTMB di hentikan untuk seketika, kereta sewa atau kereta sendiri menjadi pengangkutan utama penduduk untuk ke bandar melaui jalan raya. Walaupun kos untuk menyewa kereta untuk ke bandar agak tinggi berbanding kos menggunakan keretapi, namun penduduk terpaksa menggunakannya kerana jalan raya sahaja kemudahan yang ada untuk ke bandar bagi membuat sesuatu urusan yang melibatkan bank, pejabat-pejabat kerajaan, urusan perniagaan  dan banyak lagi. Jarak antara kampung ini ke bandar adalah 60km. Jalan raya yang di bina melalui simpang Kg Sg Asap melalui Kg Jeram Tekoh, Kg. Limau Kasturi 1, Kg. Limau Kasturi 2, Kg. Pasir Tumboh dan berakhir di Kg. Bertam Baru. Seperti KTMB, jalan raya yang di bina ini juga sedikit sebanyak dapat membantu penduduk dari segi menaik taraf sosio-ekonomi dan merapatkan silaturrahim antara komuniti sekitar.


 

  Kemudahan Rekreasi

 

a) Padang Bola Sepak

 

 

Bagi komuniti yang ingin bermain bola sepak, mereka boleh menggunakan padang bola sepak yang ada di kawasan Sekolah Kebangsaan Bertam dan juga padang bola sepak yang ada di Kg. Bertam Lama. Padang bola sepak ini boleh di gunakan setiap hari bermula jam 5.00pm sehingga jam 7.00pm. Golongan belia adalah salah satu kumpulan yang aktif menggunakan padang bola sepak untuk bermain bola dan juga untuk mengadakan pertandingan bola sepak dengan kampung-kampung berdekatan.

 

b) Gelanggang Futsal

 

 

Gelanggang futsal di Kg. Bertam Baru terletak bersebelahan dengan Tabika KEMAS Sri Seroja dan berhadapan dengan Klinik Kesihatan Bertam Baru. Gelanggan ini di kawal selia oleh Imam Muda Kg. Bertam Baru iaitu En. Mohd Mokhtar dan gelanggang ini akan di buka setiap hari dari jam 5.00pm sehingga ke jam 7.00pm. Gelanggang yang dilengkapi dengan kemudahan elektrik ini turut mendapat permintaan dari komuniti sekitar untuk menyewa gelanggang ini untuk membuat latihan dan mengadakan pertandingan. Jika mendapat permintaan, gelanggang ini akan di buka sehingga ke waktu malam. Bagi pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pelajar Tabika Sri Seroja untuk melakukan aktiviti sukan

 

c) Taman Permainan dan Gelanggang Sepak Takraw

Bagi golongan kanak-kanak, taman permainan yang terletak bersebelahan Pasar Bertam Baru menjadi pusat rekreasi dan riadah mereka pada waktu petang. Taman ini biasanya akan menjadi perhatian kanak-kanak pada musim cuti sekolah untuk bermain gelongsor, jongkang-jongket dan juga buaian. Taman ini juga akan di penuhi oleh golongan belia untuk bermain sepak takraw keran gelanggang sepak takraw terdapat di dalam kawasan taman permainan tersebut. 


 Kemudahan Utiliti

 

a) Elektrik

Bekalan tenaga elektrik di Kg. Bertam Baru pada awalnya hanya boleh di gunakan selama 12 jam sehari yang di bantu oleh  generator.Selepas 17 tahun yang lalu, bekalan ini telah di naik taraf dan di bekalkan sepenuhnya iaitu 24 jam oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan penduduk kampung. Pencawang elektrik di kampung ini terletak bersebelahan Masjid Mukim Bertam Baru. Dengan adanya bekalan tenaga elektrik selama 24 jam, taraf hidup para penduduk semakin bertambah kerana bagi penduduk yang berniaga, mereka masih boleh meneruskan aktiviti mereka sehingga ke waktu malam.

 

b) Air

Seperti bekalan elektrik, bekalan air di Kg. Bertam Baru juga dapat digunakan 24 jam sehari kecuali berlakunya proses pembersihan loji air. Dengan adanya loji air yang di sediakan oleh pihak Kelantan Water, para penduduk mendapat bekalan air yang bersih. Loji air akan menyedut air sungai dan di proses sebelum di slaurkan ke setiap rumah penduduk kampung. Jika berlakunya masalah pembekalan air dari loji, pihak berwajib akan membuat pengumuman terlebih dahulu kepada penduduk sebagai persediaan untuk menyimpan air dengan memasang siren. Dengan adanya bekalan air yang sihat, kesihatan penduduk di kampung ini lebih terjamin berbanding zaman dahulu yang mana menggunakan air sunnngai sepnuhnya untuk aktiviti memasak dan mencuci pakaian.

 

 

 (sumber:https://www.google.com.my/maps/)

 


 Kemudahan Perkhidmatan Pos Malaysia

 

Bagi penduduk kampung yang ingin menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia, mereka tidak perlu untuk ke bandar kerana terdapat Mini Pos Malaysia yang di sediakan di Kg. Bertam Baru ini. Mini Pos Malaysia ini di kawal selia oleh En. Ahmad b. Kadir sebagai wakil pos sejak tahun 1985 dan hanya untuk perkhidmatan Pos Malaysia sahaja tidak termasuk perkhidmatan Pos Laju. Mini pos ini yang dahulu nya terletak di bangunan kedai telah berpindah ke rumah En. Ahmad. Segala urusan surat menyurat penduduk, mereka akan ke rumah En.Ahmad mengikut masa dan waktu operasi. Van Pos Malaysia Gua Musang akan datang setiap hari Selasa dan Khamis setiap minggu untuk menghantar surat-surat penduduk di Kg.Bertam Baru dan kampung-kampung yang berdekatan. Walaupun mini pos ini hanya untuk perkhidmatan Pos Malaysia sahaja, En. Ahmad juga akan membantu penduduk yang ingin menggunakan perkhidmatan Pos Laju tidak kira sama ada untuk Pengeposan Keluar atau Penerimaan dan mereka perlu memberitahu wakil pos ini terlebih awal dari tempoh untuk berurusan untuk memudahkan wakil pos tersebut memaklumkan kepada wakil pos Gua Musang.  Rutin mingguan En.Ahmad sebagai wakil pos ialah beliau akan menghantar surat-surat yang di terima yang beralamat kampung berdekatan terutamanya ke Pejabat-pejabat dan juga Sekolah. Penghantaran akan di buat setiap hari Rabu selepas surat yang di hantar oleh wakil pos Gua Musang di susun mengikut nama alamat dan nama kampung yang tertera di surat tersebut.