Asal Usul Kewujudan Kampung Bertam 

 

                   Kampung Bertam Baru dipercayai telah wujud sebelum penjajah inggeris menjajah  di Negeri Kelantan. Pada masa itu, pentadbiran Bertam Baru terletak di bawah jajahan Kuala Krai. Setelah jajahan kecil Ulu Kelantan ditubuhkan pada 1 Julai 1976 dan menjadi jajahan penuh pada 1 September 1977 yang berpusat di Gua Musang. Kampung Bertam baru diletakkan di dalam jajahan Gua Musang. Pada masa dahulu, penempatan wujud di pinggir-pinggir sungai kerana pengangkutan  utama masa itu ialah melalui jalan sungai. Terdapat sebatang sungai besar yang merentangi kampung ini iaitu Sungai Nenggiri yang merupakan hulu sungai Kelantan.

                     Kampung Bertam baru merupakan kawasan paling kritikal dengan ancaman komunis. Menurut sejarah dan juga cerita dari orang-orang tua, pada tahun 1952, kerajaan telah mengumpul semua penduduk dari kampung-kampung atau penempatan terpencil seperti Kampung Kuala Sungai, Limau Kasturi  dan Kampung Pasir Tumboh untuk membuat penempatan bagi mengelak dari ancaman komunis. Penempatan ini terletak di dalam Kmpung Kerawat (Dawai) kini di kenali sebagai Kampung Bertam Baru. Nama Bertam Baru di ambil sempena nama sejenis tumbuhan liar yang tumbuh di kampung ini. Pokok bertam ini mempunyai khasiat dan kelebihan tertentu yang membuatkan pokok ini di takuti oleh binatang buas dan berbisa. 

                  Jarak Kampung Bertam Baru dengan Bandar Gua Musang adalah lebih kurang 50 kilometer. Sangat terkenal dengan Jambatan Kereta api tergantung di atas Sungai Nenggiri di mana ia merupakan jambatan tertinggi di Malaysia. Uniknya penduduk kampung ini, masih lagi menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama untuk ke bandar dan juga pekan. Tiada pengangkutan awam seperti bas disediakan kerana Kampung ini jauh di Kawasan pedalaman. Keadaan muka bumi kampung ini sebahagian besarnya berbukit bukau dan sebahagian kecil sahaja bertanah rata.


                   Penduduk di Kampung ini kebanyakkannya menoreh getah, bertani, menternak, berniaga, kakitangan kerajaan atau swasta dan ada juga yang bekerja sendiri. Kebanyakkan  penduduk kampung ini mengusahakan tanaman getah di atas tanah sendiri. Selain daripada itu mereka juga memiliki dusun buah-buahan sendiri. ia adalah sebahagian aktiviti sampingan untuk menyara kehidupan dan hasil dari tanaman ini akan dijual kepada penduduk kampung, kampung-kampung sekitarnya dan di bandar Gua Musang. Selain itu penduduk kampung ini juga menjalankan aktiviti perniagaan membuka kedai runcit, kedai makan, bengkel menjahit dan sebagainya di sekitar/hadapan rumah kerana di kampung ini tidak disediakan bangunan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

 

 

 

 

 

(Sumber:http://ummiberbicara.blogspot.com/ & Siaran Langsung Nasional 5 RTM,TV1 02/09/2015)